Pages

Wednesday, August 18, 2010

Awasi bengkak keras

Oleh ADHAM SHADAN

BENGKAK dengan bonjolan keras merupakan antara tanda-tanda awal kanser tulang.



SALMIAH HARUN (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka anak lelakinya yang berusia 11 tahun menghidap kanser tulang. Pada mulanya dia menganggap lebam pada lutut anaknya yang muncul tiba-tiba itu cuma lebam biasa. Tambah pula si anak memang gemar bermain bola sepak dan kecederaan satu perkara lazim.

Apabila anaknya mengadu tidak boleh berjalan, Salmiah, 35, dan suaminya mula berasa risau. Mereka merujuk kepada doktor pakar di sebuah hospital di Selangor. Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan yang dijalankan melalui teknik MRI, CT Scan dan Biopsi di hospital berkenaan, anaknya itu disahkan menghidap kanser tulang. Lebih memeritkan Salmiah untuk menerima kenyataan apabila sel kanser tulang anaknya itu telah merebak ke paru-paru.

Hati Salmiah bagai direntap apabila doktor pada awalnya memberitahu anaknya diramalkan hanya punya masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk hidup. Namun, selepas tabah mengikuti rawatan yang disarankan doktor meliputi pembedahan, rawatan kimoterapi dan fisioterapi keadaannya bertambah baik.
Sememangnya apabila bercakap tentang penyakit tulang, ramai orang terfikirkan penyakit osteoporosis yang menyebabkan tulang rapuh, namun kanser tulang merupakan penyakit tulang yang perlu diambil perhatian. Tambah pula kanser tulang primer lazim terjadi pada kanak-kanak.

Media pada 2001 pernah melaporkan nisbah satu dalam 100,000 penduduk didapati menghidap kanser tulang setiap tahun. Walaupun penyakit kanser ini kurang terjadi berbanding penyakit-penyakit kanser yang lain, namun ia masih perlu dirawat segera sebelum terlambat. Kanser tulang yang lewat dirawat boleh menyebabkan tulang retak dan akhirnya membawa maut.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A. Wahid, terdapat dua jenis kanser tulang.
Pertama, kanser tulang primer bermula daripada tulang manakala kanser tulang sekunder ialah kanser yang merebak ke tulang.


IMBASAN sinar-X menunjukkan imej seperti sinar matahari pada kanser tulang primer.



Jenis
Kanser tulang primer biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan individu bawah 30 tahun manakala kanser tulang sekunder pula banyak terjadi kepada orang dewasa dan tua.
“Setakat ini punca kanser tulang terjadi dan bagaimana mekanismenya masih tidak diketahui. Jika kanser yang lain seperti kanser paru-paru ia mungkin disebabkan oleh amalan menghisap rokok. Kanser payu dara pula mungkin disebabkan oleh pengambilan lemak dalam pemakanan,” ujar Mohamed Ibrahim.

Jelas beliau, kanser yang ‘memakan’ tulang akan menyebabkan komposisi tulang kurang padat dan menjadi reput lalu menyebabkan tulang mudah retak.
Jika tulang belakang retak seperti dalam kes kanser tulang sekunder, keadaan itu boleh menyebabkan saraf tunjang tertekan atau tersepit sekali gus boleh menyebabkan lumpuh.
Mengenai kanser tulang primer, Mohamed Ibrahim berkata, ia paling banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lapan hingga 12 tahun. Ia masih boleh terjadi kepada orang dewasa namun sangat jarang,
Bahagian tulang lutut merupakan antara kawasan yang paling banyak berlaku kanser iaitu kira-kira 60 peratus, diikuti 15 peratus di kawasan punggung, 10 peratus di bahu dan kurang lapan peratus di bahagian rahang.

Antara simptomnya ialah apabila terasa sakit dan bengkak yang semakin membesar pada bahagian tulang yang diserang kanser.
“Misalnya, ibu bapa boleh mengesan anak mereka mungkin mendapat kanser tulang dengan melihat terdapat bengkak di bahagian lutut sehingga kanak-kanak itu berasa sakit dan sukar atau bermasalah untuk berjalan. Bengkak biasanya keras kerana ia berpunca daripada bahagian tulang.

“Jika kanser berlaku pada tulang tangan, pesakit mungkin berasa sakit apabila menggunakan lengan tangan ketika melakukan aktiviti menggunakan anggota itu,” katanya.
Bagaimanapun, peluang untuk pesakit kanser tulang primer sembuh lebih cerah jika ia masih berada di tahap pertama atau awal.
Kanser tulang sekunder pula banyak berlaku pada bahagian tulang belakang, tulang rusuk dan tengkorak. Ia biasanya dianggap sebagai kanser tahap empat kerana kanser telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang.

Mohamed Ibrahim memberitahu, kanser tulang primer dan kanser tulang sekunder mempunyai perbezaan karakter dan doktor membezakannya dengan karakter tersebut.
“Jika imbasan sinar-X pada tulang menghasilkan imej seperti sinar matahari pada tempat kanser, itu menandakan kanser tulang primer. Sementara kanser tulang sekunder pula akan menunjukkan gambaran tulang hancur atau berlubang-lubang dengan kesan seperti digigit atau dimakan,” jelasnya.


KANSER tulang primer lazimnya dihidap oleh kanak-kanak. - Gambar hiasan.


Rawatan
Berhubung rawatan, Mohamed Ibrahim memberitahu, bagi kanser tulang primer, rawatan sebaiknya yang perlu dilalui pesakit ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi.
“Kalau zaman dahulu, bila sesuatu tempat itu ditumbuhi kanser, anggota badan itu akan dipotong. Kalau kena pada kaki, kaki akan dipotong. Namun, sekarang tidak radikal lagi. Terdapat pembedahan seperti limb salvage surgery, satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota yang sedia ada. Terdapat juga rawatan tulang prostesis untuk membina semula tulang,” katanya.
Bagi kanser tulang sekunder, rawatan yang sama juga diperlukan namun pesakit turut diberikan rawatan tambahan menerusi pengambilan bisphophanat.
Bahan tersebut membantu membaiki tulang dengan meningkatkan aktiviti osteoblast yang bertindak membaiki semula tulang.

“Dalam pertumbuhan tulang, ia melibatkan tindakan dua sel tulang iaitu osteoklast dan osteoblast. Osteoklast bertindak memakan tulang dan osteoblast membina semula tulang. Apabila kanser tulang berlaku, osteoklast bertindak lebih aktif, lalu pengambilan bisphopanat sama ada secara suntikan atau oral membantu meningkatkan aktiviti osteoblast,” ujarnya sambil memberitahu contoh-contoh kanser yang sering merebak ke tulang ialah kanser prostat, paru-paru dan serviks.
“Banyak juga kes di mana pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser lain setelah dikesan mempunyai kanser tulang,” tambahnya.

0 comments:

Newer Post Older Post Home