malam nie episod pertama, nak kena tengok nie he3..kol 9.00 malam kat Tv3
Menyusuli drama bersiri “Dingin Lavenda” di slot Zehra, sebuah drama siri bertajuk “Bunga-Bunga Syurga” menampilkan Johan As’ari, Wawa Zainal, Hilal Azman, Rozita Che Wan, Bea Rameshan, Eyka Farhana, Eira Hazali, Daniel Hakim, Dato’ Eizlan Yusof dan ramai lagi bakal menemui penonton bermula 9 Mac ini. Bunga-Bunga Syurga terbitan Suhan Movies merupakan hasil karya pengarah, Jet Lee atau nama sebenar M. Nazir Juhan dan penulis skrip, Sharifah Abu Salem.
Drama ini mengisahkan tentang perjuangan seorang pemuda memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak dan menyelamatkan kehidupan tiga anak yatim piatu yang dipelihara oleh ibu saudaranya yang kejam selepas ibubapa mereka mati dibunuh. Emilia (Eyka Farhana), 17, Nadia (Eira Hazali), 13 dan Haziq (Daniel Hakim), 12, terpaksa diserahkan kepada bapa saudara mereka, Azmin (Hilal Azman), selepas ibubapa mereka, Imran dan Mira mati dibunuh. Kematian Imran dan Mira masih misteri walaupun kes sudah bertahun berlalu.
Bapa saudara mereka, Azmin sanggup menerima amanah untuk memelihara anak-anak saudaranya tetapi isterinya, Baidah (Rozita Che Wan) berasa terpaksa. Apabila Baidah mengetahui Emilia, Nadia dan Haziq mewarisi harta jutaan ringgit, barulah dia tersenyum untuk menerima kedatangan mereka. Bagaimanapun Azmin mengkhianati amanah tersebut apabila memakan sebahagian daripada harta anak-anak yatim itu kerana hasutan Baidah. Baidah tidak pernah puas dengan apa yang dimilikinya, dia memaksa Azmin mengambil lagi walaupun Azmin tidak berani kerana peguam mula mengesyaki pengeluaran wang yang berlebihan.
Dalam satu pertengkaran, Azmin ditembak oleh Baidah menyebabkan dia lumpuh. Sewaktu lumpuh, Azmin sering bermimpi perkara-perkara buruk seperti dibakar dalam api neraka, meminum darah busuk dan banyak lagi. Ini membuatkan Azmin mula insaf akan perbuatannya dan kembali ke jalan Allah s.w.t. Dia juga enggan menandatangani borang pengeluaran wang yang diminta oleh Baidah. Baidah yang marah pada waktu itu telah menolak kerusi roda Azmin menyebabkan Azmin terjatuh.
Namun kepulangan anak kedua Azmin, Aiman (Johan As’ari) selepas tamat pengajian di Australia memberi sinar harapan buat Emilia, Nadia dan Haziq. Aiman pulang ketika Baidah dan kakak Aiman, Zila (Bea Rameshan) sedang menyeksa mereka bertiga. Aiman bertindak membawa ketiga-tiga anak ini keluar dari rumah tersebut. Walaupun menuntut dalam bidang perakaunan, Aiman banyak menimba ilmu agama di madrasah pengajian Islam di Australia. Aiman mula mengadakan kelas tuisyen dan menghafaz al-Quran bagi pelajar yang berhampiran dengan rumahnya.
Atas bantuan Haji Halim (Dato’ Eizlan Yusof), Aiman pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama bagi meneruskan kelas hafazannya. Haji Halim banyak menceritakan tentang anaknya, Shaffiyah yang terpaksa bekerja di bandar untuk membantu membiayai pusat pengajiannya. Haji Halim menceritakan sahsiah Shaffiyah sebagai gadis baik dan pandai mengaji. Bagaimanapun, apabila melihat gambar Shaffiyah, Aiman terkejut kerana Shaffiyah adalah Sofia (Wawa Zainal), perempuan simpanan bapanya, Azmin.
Sofia enggan pulang ke kampung kerana malu dan dihantui rasa bersalah dengan bapanya. Oleh kerana dendam yang menebal, Zila bertindak mencederakan Sofia sehingga Sofia terpaksa menerima rawatan selama sebulan di hospital. Haji Halim membawa Sofia pulang walaupun masih lemah dan memerlukan masa untuk Sofia sembuh sepenuhnya. Pertemuan di surau mengejutkan Sofia kerana Aiman tidak pernah membangkitkan tentang hubungan Sofia dengan bapanya. Akhirnya, Sofia sendiri menceritakan kepada Aiman bagaimana hubungan sulit itu terjadi.
Aiman mahu Sofia berterus-terang tentang perkara sebenar kepada bapanya walaupun Sofia cuba untuk terus merahsiakannya. Apakah yang berlaku seterusnya setelah Haji Halim mengetahui hal sebenar? Apa pula yang bakal dilakukan oleh Baidah dan Zila untuk menuntut ‘hak’ mereka? Saksikan barisan pelakon, Johan As’ari, Wawa Zainal, Hilal Azman, Rozita Che Wan, Bea Rameshan, Eyka Farhana, Eira Hazali, Daniel Hakim, Dato’ Eizlan Yusof dan ramai lagi dalam Bunga-Bunga Syurga di slot Zehra, setiap hari Jumaat jam 9.00malam bermula 9 Mac ini. Penonton yang terlepas menyaksikan Bunga-Bunga Syurga boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.
sumber :http://www.tv3.com.my
2 comments:
undilah tv3..
eh..tetiba..
:)
hidayah : a'ah kena vote tv3...semua drama best2 skrg nie he3..
Post a Comment