Tuesday, August 17, 2010

Pusingan U ragut empat nyawa


PROTON Wira yang dirempuh van Toyota di Kilometer 22, Jalan Seremban-Simpang Pertang, Jelebu kelmarin.


JELEBU – Hilang isteri, hilang tiga anak serentak. Demikian harga yang dibayar oleh seorang suami apabila kereta Proton Wira dipandunya tiba-tiba membuat pusingan U sebelum kereta itu dirempuh sebuah van Toyota di Kilometer 22, Jalan Seremban-Simpang Pertang malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam, empat beranak yang terkorban ialah Hazilawati Abdul Halim, 34, dan tiga anaknya iaitu Khairunisa Afiqah Khairul Affendy, 7, Khairul Afiq, 5, serta Khairul Aiqal, 1. 

Suami Hazilawati, Khairul Affendy Shabudin, 33, yang memandu kereta Proton Wira dan seorang lagi anak pasangan itu, Khairul Aziq, 1, yang juga kembar kepada Khairul Aiqal cedera parah. Punca Khairul Affendy buat pusingan U tidak diketahui.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Setapa Yusoff berkata, kemalangan itu berlaku selepas kereta Proton Wira yang dinaiki keluarga malang itu dirempuh van Toyota ketika ia membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Ketika tragedi enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Batu Empat, Sg. Pelek, Sepang, Selangor selepas pulang ke kampung Khairul Affendy di Kampung Kampai di sini.

“Sampai di tempat kejadian kereta Proton Wira itu membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah van Toyota Lite Ace dari arah bertentangan,” kata beliau di sini semalam.

No comments: